Thursday, 4 August 2016

Jangan biar ibu tunggal 'sasau' kerana nafkah

MASALAH yang dihadapi oleh kebanyakan ibu ibu tunggal adalah pelbagai dan tidak pernah berkesudahan, habis satu bab datang satu isu yang baru lagi. Oleh kerana bersimpati dengan masalah ibu-ibu tunggal ini telah menarik perhatian Datuk Dr. Wan Halim Othman, menghantar e-mel untuk bertemu dan berbincang dengan penulis beberapa topik yang mungkin boleh meredakan tanggungan masalah ibu-ibu tunggal.
Beliau adalah bekas Pengerusi The Caring Society Association, KL, juga bekas Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM. Beliau juga ahli lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam masalah dan persatuan ibu-ibu tunggal, kerana tugasnya berhubung kait dengan masalah berkaitan semasa bertugas di USM juga dengan Terengganu.
“Kata beliau, golongan ibu-ibu tunggal ini bukan sahaja memerlukan bantuan, tetapi perhatian pihak berwajib, serta nasihat tentang apa yang patut mereka lakukan bila tidak dapat nafkah dan duit tidak ada dalam tangan. Kerana itu beliau ingin mengadakan pertemuan dengan ibu-ibu tunggal di bawah naungan Kumpulan Sokongan Ibu-Ibu Tunggal. Semoga kumpulan sokongan ini dapat memberi bimbingan dan nasihat yang diperlukan. Cadangan pertemuan ini dirancangkan pada 13 Ogos depan,’’ Itu kata Dr. Wan Halim.
Jika anda berminat menyertai kumpulan sokongan ini anda boleh lah menghubungi Dr. Wan Halim sendiri atau penulis untuk mengetahui lebih lanjut tentang masa dan tempat pertemuan tersebut. Anda digalakkan membawa kawan yang seangkatan bersama.
Memang benar ketika terdesak kebanyakan ibu-ibu tunggal buntu, tidak tahu apa harus mereka boleh lakukan, terutama bila duit tidak ada dalam tangan, keluarga terdekat tidak membantu, dan mereka dicemuh masyarakat keliling. Kita tidak mahu lihat kes terbaru seorang ibu tunggal membunuh dua orang anaknya dengan memberi minum racun peluntur dan kemudian membunuh diri sendiri dengan menggantung diri. Terakhir polis menutup kes tersebut. Di harapkan pertemuan itu nanti mendapat sambutan daripada ibu-ibu tunggal.
Oleh kerana masalah wanita yang berumah tangga ini juga pelbagai, maka kisah yang dibentangkan di bawah ini mungkin menarik perhatian pembaca, tetapi seperti kata penulis yang menghantar e-mel ini, dia bersedia menerima apa juga gelaran yang diberikan kepadanya, sama ada mahu menggelarkan dia bodoh, penakut atau apa apa sahaja, sebab dia sendiri tidak tahu mengapa dia berbuat seperti apa yang dilakukannya selama lebih 12 tahun ini.
“Saya tak tahu apa gelaran yang layak saya pegang selama ini. Hendak kata saya ibu tunggal tak sesuai sebab saya masih ada suami, tidak diceraikan lagi. Tetapi keadaan kehidupan saya sama seperti nasib ibu-ibu tunggal. Nak kata ibu tinggal mungkin layak, sebab sudah lebih 12 tahun saya ditinggalkan suami tanpa sebarang nafkah.” Itu cerita Nurharisah dalam e-melnya.
“Saya banyak membaca rencana di ruangan ini, akhbar juga mendengar cerita dari kawan. Rasanya, kalau tak salah bacaan saya, dengan keadaan saya sekarang ini, jika saya bawa kes saya ke mahkamah syariah, mungkin saya boleh buat tuntutan cerai. Tetapi susah sebab mana nak cari suami, saya tak tahu ke mana dia pergi, sejak ditinggalkan bersama tiga anak.
“ Dia tinggalkan saya dalam keadaan marah. Semuanya berpunca bila saya mengajak suami saya, Kheiree pulang beraya ke kampung saya, sebab sejak kami berkahwin 10 tahun lamanya Kheiree tak pernah mahu balik beraya ke kampung saya. Katanya kalau saya nak balik, baliklah sendiri, sebab mengikut Islam sebagai isteri saya wajib mengikut suami ke mana suami pergi, tak kira balik kampung, berpindah kerja hendak berhari raya atau jumpa keluarga.
Ditinggalkan
“Sebagai isteri saya mesti ikut kehendaknya, bukan suami ikut cakap isteri. Memang selama ini saya memang melebihkan keluarga Kheiree dalam apa juga keadaan. Sebagai contoh setiap tahun raya saya mesti balik kampung Kheiree dulu, selepas seminggu atau dua minggu raya baru balik kampung saya jumpa emak. Saya kena ambil cuti lain balik bersama anak-anak kerana Kheiree tidak akan ikut.
“ Pertama kerana dia bekerja cuti raya dah habis, kedua emak saya bukan emak dia, jadi tak sepatutnya dia ikut saya. Kalau saya balik pun cuma dua malam sahaja. Sebab anak nak sekolah. Masa mereka belum bersekolah, dapatlah balik tiga malam. Itu pun dengan kebenarannya.
“Walaupun saya menangis kerana tidak berjaya memujuk suami beraya ke kampung saya, namun saya masih balik ke rumah emaknya untuk hari raya. Selepas seminggu bekerja baru saya minta cuti lagi dan balik beraya di kampung saya. Lebih 12 tahun lalu ketika saya balik kampung beraya, ketika itulah Kheiree ambil kesempatan berkemas pakaiannya pindah keluar dari rumah sewa kami. Saya hanya sedar Kheiree tinggalkan saya tiga hari kemudian bila dia tak balik. Bila saya telefon dia tak jawab.
“Lepas seminggu dia telefon beri amaran jangan telefon dia lagi, katanya saya patut ditinggalkan sebab engkar pada suami. Walaupun saya minta ampun, minta maaf tetapi Kheiree kata dia akan balik ke rumah bila hatinya sudah tenang dan setelah saya insaf. Jadi untuk sementara waktu jangan telefon dan cari dia, kerana perbuatan saya menelefon dan mencarinya akan membuat dia bertambah marah dan mungkin lebih lambat lagi dia balik ke rumah. Katanya saya isteri engkar memang patut di ajar supaya sedar diri dan tahu menghormati suami.
“Amarannya membuat saya tak berani menghubunginya lagi, tetapi saya mencari Kheiree melalui adik beradiknya, dan melalui kawan-kawannya di pejabat, rupanya berita itu sampai juga ke pengetahuan Kheiree. Sekali lagi saya diberi amaran dia tidak akan balik ke rumah jika saya masih memalukannya dengan mencarinya dan menceritakan masalah keluarga kepada adik beradiknya juga kawan-kawannya di pejabat.
“Kerana takutkan amaran yang diberi saya tak berani lagi mencarinya. Saya terpaksa diamkan diri. Walaupun ketika itu saya kesempitan duit. Sebab sudah lebih enam bulan Kheiree meninggalkan kami anak beranak. Untuk mencukupkan belanja makan minum, saya terpaksa gadaikan barang kemas. Untung duduk sewa rumah murah kalau tidak tak tahu apa harus saya buat.
“Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, Kheiree masih tak balik, kehidupan kami anak beranak semakin tertekan, barang kemas sudah habis tergadai di Bank Rakyat. Ketika itu anak sulung baru bersekolah darjah dua, yang lain masih di tadika. Anak-anak semakin rindukan ayah mereka, ada yang demam. Saya terpaksa berbohong kepada anak-anak mengatakan Kheiree bekerja jauh tak boleh balik.
“Genap sembilan bulan Kheiree tinggalkan kami, akhirnya saya terpaksa mencari Kheiree di pejabatnya. Saya tidak ada jalan lain, kalau marahkan saya pun memang tak patut dia mendera saya begini lama berbanding dosa kecil yang saya buat.
“Tetapi alangkah terkejutnya saya bila diberitahu Kheiree sudah lama berhenti kerja dan mereka sendiri tak tahu dimana dia bekerja sekarang. Terlopong besar saya. Saya tanyakan keluarga mertua, mereka kata Kheiree bekerja di Singapura. Mereka juga hairan mengapa setelah sekian lama baru saya mencarinya. Bila saya ceritakan apa yang berlaku, mereka langsung tak percaya malah kata mereka saya izinkan Kheiree bekerja di Singapura.
“Bila saya ceritakan kesusahan saya, mereka mendakwa mereka tidak ada alamat atau nombor telefon untuk mencari Kheiree. Mertua nasihatkan saya supaya bersabar, mungkin satu hari nanti Kheiree akan balik juga sebab dia sayangkan anak-anak. Mungkin Kheiree akan kirim duit kepada saya. Apa yang menghairankan mengapa Kheiree tidak beritahu yang dia sudah berhenti dan bertukar kerja.
“Oleh kerana anak-anak memang sudah saya ceritakan ayah mereka berkerja jauh, maka mereka tidak buat masalah lagi, begitu juga jiran tetangga, mereka seolah percaya cerita saya. Cuma mungkin mereka hairan mengapa Kheiree langsung tak balik jumpa anak-anak.
“Berita itu amat menyakitkan hati saya, pada saya Kheiree sangat kejam langsung tidak beritahu saya dia telah bertukar kerja. Dia tidak jujur. Tetapi saya tak berani bercerita kepada jiran, teman-teman pejabat apa lagi kepada keluarga tentang punca Kheiree tinggalkan saya. Saya takut mereka semua akan menyalahkan saya pula.
“Sejak saya terima berita itu saya jadi bingung dan tertanya tanya pada diri sendiri apakah saya yang bersalah ataupun Khairee bersalah. Sepatutnya sebagai suami setelah menghukum saya dia tak patut tinggalkan saya dan menyeksa hidup kami seperti ini. Dia sepatutnya jadi pembimbing keluarga, bawa keluarga pada jalan yang benar. Bukan tinggalkan kami!
“Selepas menerima berita itu saya ambil tindakan mencari rumah lebih murah kerana saya memang tak mampu. Saya juga pindahkan sekolah anak-anak supaya mereka boleh berjalan kaki pergi dan balik ke sekolah sendiri. Kerana saya tidak mampu bayar tambang bas yang semakin tinggi dan duit saku yang bertambah banyak.
“Kini dari setahun sudah lebih 12 tahun Kheiree masih tak balik-balik. Nak tuntut cerai saya rasa malu dan tak mampu nak bayar duit peguam. Dari cerita yang saya dengar kena bayar peguam berbelas dan bepuluh ribu. Oleh kerana saya memang tak ada banyak duit dan simpanan saya zero, maka biarlah saya diamkan diri begini. Biarlah saya digantung tak bertali! “Biarlah apa juga orang mengata saya. Saya terima nak kata bodoh pun tak kisah, sebab daripada saya habiskan duit beri pada peguam, lebih baik saya bagi makan dan biaya sekolah anak-anak demi masa depan mereka.
“Tentang nafkah anak-anak biarlah ayah mereka menjawab di akhirat dan di depan Allah nanti. Tetapi kata orang, ayah yang tak beri makan minum pada anak-anaknya, hidup mereka tak selamat baik di dunia mahupun di akhirat. Kerja kuat macam mana pun hidup mereka tak senang.’’ Itu cerita Nurharisah panjang lebar yang selesa dengan gelaran ibu tinggal. Doanya biarlah Allah membalas atas apa juga perbuatan baik dan jahat seorang yang bergelar ayah dan suami yang tidak beranggungjawab.
- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/jangan-biar-ibu-tunggal-sasau-kerana-nafkah-1.364447#sthash.Xs91HIkt.dpuf

Tuesday, 12 July 2016

Cara orang malas tanam lada tetapi hasil lebat

cara2 org malas bercucuk tanam.




1. beli apa2 lada/cili di supermarket/kedai2..

2. potong cili/lada (opocot...lada melompat...hihi) dan ambik biji2nye.

3. tabur terus biji lada atas tanah dlm polybag

4. Dalam seminggu anak2 lada dah keluar benih..

5. letak ler baja organik sket.. siram pagi n ptg...

6. takyah pindah2 anak benih bior jer beremut di situ..(nama pon malas tanam)

7. tunggu pokok besar dan dapatlah hasilnyee.. mudah kan...?

Lihat video cara-caranya just klick link di bawah :-

https://youtu.be/YSq54AU9fts?t=10


Saturday, 18 June 2016

Sunday, 12 June 2016

Sakit belakang pada usia muda





DOKTOR, saya selalu mengalami sakit belakang pada usia menjangkau 25 tahun ini. Adakah saya mengalami osteoporosis. Adakah penyakit tulang ini boleh sembuh?
Maria, Kuala lumpur


Jawapan


Sakit belakang adalah masalah biasa pada semua lapisan umur kecuali kanak-kanak. Boleh dikatakan setiap orang akan mengalami sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Jika masalah ini berlarutan, mereka yang mengalaminya perlu segera berjumpa doktor. Setidak-tidaknya mereka perlu mendapatkan pandangan doktor berkenaan punca sakit belakang yang dialami.


Kadang-kadang sakit belakang boleh disebabkan oleh masalah biasa seperti mengangkat barang, postur semasa bekerja di pejabat dan sebagainya. Apabila mengangkat barang, ramai yang lazimnya membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan.Pekerja pejabat pula duduk di meja dan menghadap komputer berjam-jam tanpa regangan.


Serius


Walaupun penyakit serius seperti kanser dan jangkitan kuman tulang belakang, jarang berlaku dalam kalangan wanita muda namun penyakit lain yang juga boleh menyebabkan sakit belakang seperti batu karang perlu dipertimbangkan. Pesakit juga tidak patut bergantung kepada ubat penahan sakit kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan dalam jangka masa panjang seperti kerosakan pada buah pinggang dan risiko mendapat sakit gastrik.


Penyakit osteoporosis jarang berlaku dalam kalangan wanita muda tanpa penyebab lain yang mungkin dialami pada masa sama. Faktor yang boleh meningkatkan risiko bagi mendapat osteoporosis adalah dalam kalangan atlet profesional yang menggunakan tenaga pada tahap optimum seperti pelari maraton, wanita kurang bersenam dan diet kalsium yang rendah, wanita yang terlalu kurus dan memiliki kerangka tulang badan kecil, wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap osteoporosis, wanita yang merokok, mengalami masalah penyerapan nutrien, mempunyai aras hormon estrogen yang rendah mungkin disebabkan menopaus pramatang (menopaus pada usia muda), rawatan kemoterapi dan mengalami kekurangan vitamin D.


 Perubahan


 Sakit belakang secara umumnya dibahagikan kepada dua kumpulan. Hampir 90 peratus kes adalah dalam kumpulan ‘fungsi’ iaitu sakit belakang tanpa perubahan dikesan dalam X-Ray atau Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Ramai daripada pesakit ini wanita bekerja atau berumah tangga. Kebanyakan mereka bekerja dan duduk di kerusi terlalu lama. Postur duduk yang tidak sesuai menyumbang kepada sakit belakang.


Satu lagi ciri kumpulan ini ialah mereka yang kurang bersenam atau aktiviti rekreasi kerana sibuk dengan kerja pejabat dan rumah. Mereka tidak sihat secara fizikal dan mental. Kepenatan, stres dan sedikit sebanyak tekanan menyebabkan mereka merasa sakit belakang lebih daripada orang biasa.


Kerja mengangkat benda berat yang jarang dilakukan mencetuskan gejala sakit belakang yang teruk kerana teknik yang salah dan kelemahan fizikal.


Dalam pada itu, 10 peratus yang lain menghidap sakit belakang asli dengan perubahan dikesan dalam X-Ray dan MRI. Kebanyakan mereka mengalami masalah kemerosotan struktur tulang rawan belakang yang dikenali sebagai degenerative disk disease dan kadangkala slip disk (prolapse intervertebral disk).


Disk ialah tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang. Ia berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan pergerakan (mobiliti) tulang belakang. Ia merosot mengikut kadar umur iaitu disk kehilangan kelembapannya. Ini boleh dikesan dengan MRI.


Harus diingatkan bahawa bukan semua disk yang merosot menyebabkan sakit belakang. Ini kerana slip disk berlaku apabila disk yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya adalah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut.


Daripada pengamatan saya, insya-Allah sakit belakang yang dialami anda adalah tidak serius kerana besar kemungkinannya disebabkan sakit belakang daripada kumpulan pertama iaitu ‘fungsi’. Sudah tentu sakit ini boleh sembuh. Ia bukanlah disebabkan masalah osteoporosis. Elok berjumpa dengan doktor pakar tulang (ortopedik) bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dan sudah tentu rawatan yang sewajarnya dapat diberikan.


SUMBER  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/sakit-belakang-pada-usia-muda-1.341548#sthash.lDRmmcpF.dpuf

Fenomena Bayi Besar



BAYI besar atau lebih dikenali sebagai makrosomia adalah bayi yang lahir dengan berat badan lebih daripada 4,000 gram (4 kilogram). Berat badan bayi yang baru lahir dengan cukup bulan dan usia kehamilan sekitar 37 hingga 42 minggu biasanya antara 2,500 hingga 4,000 gram.


Kalau berat si kecil ketika dilahirkan lebih daripada itu dianggap bayi bersaiz besar dan senario bayi besar bukan baharu di negara ini. Apabila perkara ini terjadi kita pastinya tertanya-tanya apakah puncanya dan kenapa terjadi? Menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Columbia Asia Setapak, Dr. Khairul Zaman Omar, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini terjadi.


Katanya, antara yang sering dikaitkan dengan kejadian bayi besar ketika lahir ialah faktor genetik dan si ibu menghidap penyakit kencing manis semasa hamil. “Kejadian bayi yang dilahirkan besar bukan satu fenomena baharu di negara ini, malah bergantung kepada keadaan masyarakat itu sendiri.


 "Di Malaysia berat maksimum bayi yang baru dilahirkan adalah di antara 4 kilogram (kg) hingga 4.5kg tetapi di negara Arab 5kg adalah saiz bayi yang normal. “Faktor genetik biasanya membabitkan kedua-dua ibu dan bapa bersaiz besar, serta ibu yang mengalami masalah lebihan berat badan ketika hamil. Selain itu, bayi yang dilahirkan lebih pada usia kehamilan iaitu 42 minggu juga berisiko untuk lahir besar,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.


Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Dr.Khairul, menjelaskan, setiap ibu hamil perlu mendapatkan rawatan berkala untuk mengetahui tahap kesihatan sepanjang kehamilan. Ini adalah untuk mengelakkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku termasuk kemungkinan bayi bersaiz besar, yang mengundang pelbagai risiko baik kepada ibu mahu pun bayi itu sendiri.


Tuturnya lagi, sekiranya masalah ini terjadi, 90 peratus ibu hamil akan melahirkan anak mereka melalui pembedahan caesarean. Namun, sekiranya si ibu mahu bersalin secara normal kemungkinan besar anak yang dilahirkan secara vakum atau forsep.


Keadaan ini menurut Dr.Khairul, bukan satu situasi selamat kerana bayi tersebut berisiko tinggi untuk meninggal dunia kerana tersekat di pangkal rahim dan kekurangan oksigen. Bukan itu sahaja, si ibu juga berkemungkinan mengalami koyak yang teruk pada bahagian vagina.


“Lazimnya ibu hamil yang mengandungkan anak bersaiz besar, mereka akan melahirkan anak secara pembedahan untuk mengelakkan koyak teruk pada bahagian vagina. “Ini juga bagi mengelakkan bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan kekal pada bahagian bahu yang kemungkinan akan tersangkut pada pangkal rahim sekiranya dilahirkan secara normal.


“Pada masa yang sama, bayi bersaiz besar juga berisiko tinggi mengalami masalah paru-paru yang tidak normal dan kecacatan otak kerana mereka mengalami hipoksia (kekurangan oksigen), dan hipoglisemia (paras gula darah yang rendah) semasa kelahiran,” jelasnya lagi.


Dr.Khairul menasihatkan, ibu-ibu hamil mahupun ibu yang akan hamil mengambil berat mengenai kesihatan diri masing-masing sebelum dan semasa kehamilan bagi mengelakkan terjadinya kelahiran bayi bersaiz besar, serta risiko-risiko yang lain.


Beritahunya lagi, ibu hamil mudah mendapat penyakit diabetes walaupun pada dasarnya mereka bukanlah penghidap penyakit tersebut sebelum ini. Ini terjadi kerana perubahan metabolik dan kesan hormon kehamilan yang boleh menyebabkan terjadinya diabetes semasa tempoh kehamilan.


“Ini satu keadaan serius yang timbul apabila wanita hamil yang tidak pernah menghidap diabetes mempunyai paras glukosa yang lebih tinggi daripada wanita yang mengalami kehamilan normal. “Keadaan ini juga akan menyebabkan bayi mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia) yang berpanjangan selepas dilahirkan,” katanya.


Dalam pada itu, mengidam ketika hamil menurut Dr. Khairul, adalah perkara biasa, bagaimanapun mengamalkan diet yang sihat sepanjang tempoh kehamilan dan kerap bersenam adalah amat penting untuk membantu menguruskan keadaan tanpa bantuan ubat-ubatan. Ibu hamil yang mengalami masalah diabetes seharusnya meminta doktor merujuk mereka kepada pakar diet bagi merancang pemakanan makanan yang sesuai untuk mereka.


Pastikan ibu hamil memilih makanan yang tinggi khasiat tetapi rendah lemak seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. “Ibu-ibu hamil seharusnya beringat bahawa tiada istilah ‘makan untuk dua orang’ sebaliknya rancang diet dan hidangan yang betul sepanjang tempoh kehamilan.


“Dalam pada itu dakwaan bahawa penggunaan beberapa jenis ubat yang dibekalkan oleh doktor seperti asid folik boleh membuatkan bayi besar di dalam kandungan adalah tidak benar. “Vitamin yang diberikan hanyalah bertindak sebagai suplemen dan ia penting kerana kebanyakan ibu hamil di Malaysia tidak mempunyai zat besi yang mencukupi di dalam tubuh mereka,” katanya lagi.


Oleh demikian, berbincanglah dengan doktor anda agar dapat mengetahui keadaan semasa anda sepanjang tempoh kehamilan.


SUMBER http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/fenomena-bayi-besar-1.340324#sthash.LA6FdA22.dpuf

Tip Cantik Wanita 50-an

BERAT badan meningkat, kulit kering, muka sembap, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan. Simptom-simptom ini sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an.


Boleh dikatakan hampir semua orang turut mengalami gejala sama, tetapi pada tahap berbeza.
Namun, hakikatnya ia bukan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan kerana ada orang masih mampu bergiat aktif, nampak awet muda, cergas dan tajam fikirannya, walaupun usia melebihi separuh abad.


Terdapat tiga gejala kesihatan yang dialami oleh wanita berusia 40 tahun ke atas. Mereka akan mengalami penuaan, perubatan seperti diabetes, darah tinggi serta kanser dan risiko kanser termasuk kanser payudara dan rahim. Penuaan merupakan masalah kesihatan utama bagi wanita berumur 50-an. Ia sering dikaitkan dengan menopaus .


Gejala-gejala ini perlu dititik beratkan kerana jangka hayat bagi seorang wanita boleh mencecah hingga 80 tahun. Ia lebih panjang daripada jangka hayat sebelum ini. Kajian menunjukkan senario ini disebabkan sosio ekonomi penduduk dunia semakin baik. Justeru bilangan warga emas sekarang semakin tinggi.


 Namun, jika terlalu ramai, ia mungkin menjadi masalah kepada negara kerana kebanyakan golongan ini tidak berfungsi. Menyentuh masalah menopaus, ia biasa melanda wanita peringkat umur 50-an. Bagi menempuh tempoh masa ini, pelbagai persediaan perlu dilakukan. Antara simptom yang akan merubah wanita 50-an yang mengalami proses penuaan ialah cepat letih, mengah, tidur tidak lena, asyik hendak tidur dan mudah sangat tidur.


Bagi menopaus, wanita akan sentiasa berasa panas, paling ketara dari segi psikiatri iaitu tekanan dan mudah berasa tersisih. Ini berlaku kerana hormon wanita turun dan menyebabkan mood tiada. Selain itu, golongan ini turut berisiko tinggi mengalami osteoporosis. Ketika usia semakin meningkat, tulang-tulang sendi akan mula rasa sakit khususnya tulang belakang.


 Pada usia ini juga, wanita juga perlu berhati-hati kepada penyakit yang banyak terdapat dalam masyarakat seperti darah tinggi dan diabetes. Perubahan mengikuti proses penuaan seperti garis-garis halus dan uban adalah tidak dapat dielakkan tapi dengan produk penjagaan kulit dan rambut, rawatan muka yang tidak melibatkan pembedahan, kini wanita yang melebihi umur 50 boleh menyerlahkan kecantikan mereka dengan cara yang semula jadi.


Perubahan kulit dan rambut Tempoh yang lama di bawah matahari, merokok, diet, kegemukan, gravitasi, tekanan hidup dan genetik merupakan faktor yang boleh mempengaruhi kulit anda. Dengan peningkatan umur, proses pengggantian sel kulit yang baru akan memperlahan, menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan kurang elastik. Lapan tip mudah bagi kulit anda


1. Menjauhi rokok. Berdasarkan selidik kaji pakar, rokok akan menyebabkan penuaan awal kulit. Rokok mengandungi bahan kimia yang membatasi jumlah oksigen yang sampai ke kulit dan menggangu penyerapan vitamin C yang diperlukan oleh kulit untuk memperbaiki diri.


2. Kurangkan pendedahan di bawah matahari. Mengelakkan matahari pada jam 10 pagi hingga 2 petang kerana sinar matahari pada masa itu adalah sangat kuat. Sinar matahari adalah penyebab utama bagi masalah kulit seperti garis-garis halus, bintik-bintik coklat dan perubahan warna kulit. Pakaikan topi, lengan baju yang panjang, seluar panjang dan cermin mata gelap jika berada di luar rumah. 


3. Menggunakan krim pelindung cahaya matahari atau sunscreen. Mengunakan produk SPF30 atau lebih dengan pelindungan UVB dan UVA setiap hari. Cahaya matahari akan menyebabkan kejadian kedutan dan warna kulit yang tidak seimbang. Sunscreen juga mengurangkan risiko kanser kulit.


4. Gunakan pelembap bagi kulit kering. Pakai pelembap udara dan losyen. Pelembap melembabkan kulit dengan cara mengikat air pada lapisan kulit terluar. Cari pelembap yang berasas minyak.


5. Diet sihat dan minum air yang mencukupi. Pemakanan yang baik adalah penting untuk kulit. Pastikan anda mengikuti diet sihat yang diperkaya dengan vitamin A, B, C, E dan K yang terdapat dalam makanan seperti bayam, kekacangan, biji-bijian, lemon, limau, jus anggur dan buah-buahan. Air adalah penting untuk hidrasi mendalam. Dasar yang baik adalah 6 hingga 8 gelas dalam satu hari. Minum air juga menghilangkan racun berbahaya dari tubuh.


6. Produk anti-penuaan. Bahan pentapeptida yang terdapat dalam kebanyakan produk yang baru, membantu dalam mempercepatkan sel kulit untuk menghasilkan kolagen yang penting untuk menegangkan kulit. Krim retinoid yang mengandungi vitamin A adalah sangat efektif dalam mengurangi keriput, mencerahkan warna kulit dan meningkatkan pergantian sel kulit. Anda juga harus mencari tambahan bahan seperti antioksida untuk membuat kulit berisi dan cerah.


7. Perawatan kulit. Suntikan Botox, pengupasan kulit, pengisi kedutan dapat menghilangkan kesan kedutan dan melicinkan kulit muka. Rawatan laser dapat menambahbaikan kulit, menghilangkan parut dan kedutan dan masalah kulit yang lain.


8. Tidur yang mencukupi. Dapatkan rehat yang secukupnya untuk melihat perubahan pada wajah anda; Lingkaran hitam di bawah mata, kulit pucat, dan mata bengkak adalah simpton yang kerap. Mendapatkan tujuh hingga lapan jam tidur setiap malam akan menjaga tubuh dan kulit anda. Ia penting bagaimana anda tidur juga – kalau anda merehatkan muka anda di atas bantal, anda akan mendapat kedutan kulit, jika anda meniarap diatas perut, lingkaran hitam di bawah mata anda akan muncul. Solusinya senang – tidur di atas perut anda!


sumber :  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/tip-cantik-wanita-50-an-1.341552#sthash.83jzekw9.dpuf

Saturday, 16 April 2016

Beban Penyakit Diabetes

KITA perlu sedar, cabaran untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 bukanlah suatu perkara yang mudah.


Kesihatan juga diukur sebagai satu petunjuk tahap kemajuan sesebuah negara serta kesejahteraan rakyatnya.




Dunia sedang berhadapan masalah penyakit tidak berjangkit akibat gaya hidup tidak sihat yang diamalkan oleh masyarakat sekarang.




Diabetes adalah merupakan salah satu daripada ancaman penyakit tidak berjangkit yang dinyatakan di atas
.


Diabetes disyaki apabila paras glukosa dalam darah seseorang melebihi daripada paras normal dan diagnosa akan disahkan melalui ujian Oral Glucose Tolerance Test (OGTT).




Umum mengetahui bahawa diabetes mengakibatkan komplikasi seperti kerosakan pada buah pinggang, jantung, mata dan saraf. Selain itu, pesakit diabetes juga berisiko tinggi mendapat penyakit hipertensi dan serangan jantung.




Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan sejak tahun 1986 hingga kini, serta Global Non-Communicable Disease Report 2014 menunjukkan rakyat negara kita juga tidak terkecuali daripada penularan penyakit ini.




Jumlah penghidap diabetes di Malaysia mahupun seluruh dunia menunjukkan peningkatan saban tahun dan lebih ketara dilaporkan berlaku di negara-negara berpendapatan rendah serta sederhana.
Pada 2006, 11.6 peratus penduduk negara ini menghidap diabetes. Terdapat peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada 2011 menjadikan peratusan pesakit diabetes 15.2 peratus dan seterusnya meningkat kepada 17.5 peratus pada 2015.




Peratusan ini sangat tinggi berbanding dengan beberapa negara lain di Asia Timur. Sebagai contoh, walaupun China mempunyai 96 juta pesakit tetapi meliputi hanya 9.2 peratus daripada penduduknya.Begitu juga India, mempunyai 66 juta pesakit, iaitu 8.6 peratus daripada jumlah penduduknya.




Data di atas menjadikan seramai 3.5 juta penduduk dewasa di Malaysia menghidap diabetes dan daripada jumlah tersebut, separuh (9.2 peratus) tidak mengetahui bahawa mereka menghidapi penyakit tersebut.




Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukan sahaja merupakan populasi yang tidak sihat, tetapi yang lebih membimbangkan adalah ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak mengetahui bahawa mereka adalah penghidap diabetes.




Impak penyakit diabetes terhadap negara adalah besar. Negara dibebankan dengan bukan sahaja kos untuk sistem penjagaan kesihatan, tetapi kerugian ekonomi akibat kehilangan produktiviti dan kesejahteraan hidup pesakit.




Kekerapan pekerja bercuti sakit, kurang berupaya untuk menghasilkan kerja yang optimum dan bekerja dalam keadaan yang lemah serta kurang bersemangat akan meninggalkan kesan kepada produktiviti dan pulangan kepada ekonomi negara.




Ini belum mengambil kira impak besar terhadap ekonomi keluarga akibat kematian pra matang disebabkan oleh komplikasi serangan jantung atau strok.




Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal, Kementerian Kesihatan dalam laporan bertajuk The Cost Of Diabetes Care for Ambulatory Patients in Malaysian Ministry Of Health Facilities 2011-2012 menyatakan, anggaran purata kos langsung rawatan bagi setiap pesakit Diabetes Mellitus ambulatori setahun ialah RM2,684.




Ini bermakna jika separuh daripada 3.5 juta penghidap diabetes mendapat rawatan, kos yang dibelanjakan hanya untuk rawatan akan mencecah sehingga RM4 billion.




Secara purata, seorang pesakit diabetes yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu membelanjakan tambahan RM1,400 hingga RM3,200 sebulan untuk menjalani dialisis.


Selaras dengan Global NCD Target 2025, Kementerian Kesihatan telah menetapkan sasaran untuk mengekalkan peratus diabetes di paras kurang daripada 15 peratus menjelang tahun 2025.


Perubahan tingkah laku masyarakat kepada amalan dan gaya hidup yang lebih sihat memainkan peranan utama untuk mengawal dan mencegah diabetes.




Gaya hidup sihat yang dimaksudkan adalah melakukan aktiviti fizikal secara tetap mengikut saranan, mengekalkan berat badan unggul dan mengamalkan diet yang seimbang.




Individu yang berumur 30 tahun dan ke atas disarankan menjalani ujian saringan penyakit tidak berjangkit, termasuk diabetes sekurang-kurangnya sekali setahun dan lebih kerap jika mempunyai faktor risiko lain.




Saringan berkala ini wajar kerana diabetes tidak menunjukkan tanda atau gejala di peringkat awal. Malangnya, budaya menjalani saringan kesihatan bukanlah budaya yang popular di Malaysia.


Adalah amat penting bagi masyarakat Malaysia untuk mengubah minda daripada sikap tidak peduli dan ‘lebih baik tidak tahu’, kerana apabila diabetes telah terjadi, tiada yang dapat menyekat berlakunya komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, strok, serangan jantung dan pemotongan kaki kecuali dengan rawatan awal dan berterusan.




Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun sempena ulang tahun kewujudan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sejak tahun 1948.




Diabetes telah menjadi tema sambutan tahun ini dengan slogan Tumpaskan Diabetes: Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan Mantapkan Saringan.




Majlis pelancaran peringkat kebangsaan akan diadakan pada 7 April 2016 di Dewan Serbaguna, Taman Seri Keramat AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam.




Pelbagai aktiviti akan dijalankan pada hari tersebut seperti aktiviti senaman, seminar diabetes, pameran dan juga saringan kesihatan. Buku Clinical Practice Guideline for Management of Type 2 Diabetes 2015 yang akan diguna pakai sebagai dokumen rujukan rasmi dalam merawat pesakit diabetes akan turut dilancarkan pada hari itu.




Diabetes menular dalam kalangan remaja


DIABETES merupakan penyakit tidak berjangkit yang turut mengancam nyawa golongan muda berusia 18 tahun dan ke atas.




Pakar Perunding Endokrin, Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Husin berkata, statistik yang dikeluarkan melalui kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan 17.5 peratus rakyat di negara ini yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit diabetes.




Katanya, angka tersebut amat membimbangkan apatah lagi separuh daripada statistik tersebut menunjukkan bahawa penghidapnya tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tersebut.
“Diabetes jenis 2 pada asalnya merupakan penyakit ‘eksklusif’ orang dewasa khususnya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.




“Bagaimanapun setelah semakin ramai kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan, ditambah dengan tidak aktif bergerak, diagnosis diabetes jenis 2 dalam kalangan golongan ini semakin meningkat.




“Sebahagian peningkatannya juga dipercayai daripada pemakanan, makanan diproses tinggi lemak dan berserat rendah dan tidak ketinggalan amalan gaya hidup yang tidak sihat.


“Remaja yang menghidap penyakit ini akan berdepan dengan keadaan tersebut seumur hidup mereka, bagaimanapun sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal ia masih boleh dirawati dan ada sesetengah kes pesakit akan bebas sepenuhnya daripada penyakit ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Mengenai cara rawatannya, Dr. Zanariah membahagikan kepada dua cara, iaitu rawatan bukan ubat dan rawatan dengan ubat-ubatan.




“Untuk rawatan bukan ubat, pesakit perlulah memastikan pemakanan harian yang diambil adalah sihat dan memastikan diet harian teratur.




“Selain itu pesakit juga perlu melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dan tidak ketinggalan pemantauan tahap gula darah secara teratur.




“Bagi rawatan secara pengambilan ubat pula, pesakit boleh mengambil ubat oral atau pun melalui suntikan tetapi berdasarkan pada tahap penyakit tersebut,” kataya.




Ternyata apa jua jenis penyakit yang dihidapi, sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal bukan sahaja dapat dirawat malah tinggi peluangnya untuk sembuh.


Oleh yang demikian, jalani ujian saringan pada kadar segera dan kepada golongan warga emas mereka digalakkan melakukannya setahun sekali untuk mengetahui tahap kesihatan badan masing-masing.


SUMBER: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/beban-penyakit-diabetes-1

Thursday, 14 April 2016

Kunyit Boleh Mencegah Kanser





KUNYIT adalah antara bahan penting dalam masakan. Nutrien paling bermanfaat dalam kunyit ialah curcumin yang dapat merawat penyakit kanser dan nyanyuk.


Selain curcumin, kunyit mengandungi paras tinggi zat besi dan tahap sederhana vitamin B6 serta kalium. Semua vitamin dan mineral berkenaan adalah sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.


Curcumin, bahan aktif dalam kunyit memiliki kandungan antioksidan dan dikatakan amat kuat seperti vitamin C dan E. Kunyit adalah agen antiseptik dan antibakteria semula jadi dan berguna dalam pembasmian luka serta kesan terbakar.


Antara penyakit kanser yang boleh dirawat menggunakan kunyit ialah barah prostat dan payu dara. Bahan itu juga dapat mengurangkan risiko penyakit leukemia terhadap kanak-kanak.


Khasiat lain adalah boleh digunakan sebagai bahan antiradang, merawat masalah pencernaan dan hati, pe­nyakit kulit serta luka. Kunyit juga boleh digunakan untuk menghalang proses penuaan dan membantu mengurangkan berat badan.


Dalam perubatan Cina, kunyit telah lama digunakan dalam rawatan kemurung­an, melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Bagi masyarakat Melayu, kunyit diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu selepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah.


Di dalam perubatan Thai, bahan berkenaan digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.


Untuk menghasilkan jus, kunyit hidup hendaklah di­bersihkan kulitnya dan direndam selama satu jam dengan dicampur sedikit garam untuk membuang getah. Kisar kunyit dengan lima gelas air. Tapis dan masukkan dalam botol kaca.


Jika terlalu pekat, tambah sedikit air lagi bersama asam keping serta sedikit madu. Simpan dalam peti sejuk. Minum suku cawan setiap pagi dan malam. Amalkan jus ini seminggu dua kali sahaja sudah mencukupi.


SUMBER : http://www.utusan.com.my/rencana/forum/kunyit-boleh-mencegah-kanser

Monday, 28 March 2016

Pigmentasi Akibat Kosmetik Keracun

Masalah seperti ini merupakan salah satu pendorong saya untuk mendalami ilmu estetik lantas saya menghadiri kursus di Eropah 10 tahun yang lepas. Tidak semua penyakit itu sama. Masalah pigmentasi adalah suatu penyakit senyap yang menjejaskan self esteem seseorang. Ia merosakkan wajah dan menimbulkan rasa rendah diri dalam jiwa.


Oleh itu, saya bersetuju untuk menunggu beliau untuk menganalisa dan memahami keadaan kulit beliau secara teliti.Tepat jam 5 petang, Puan Norizah tiba di Marissa Aesthetic Shah Alam bersama suami tercinta. Beliau terharu apabila melihat kelibat saya.


Pada masa yang sama, keadaan muka beliau membuat saya terkejut dan bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya saksikan. Keadaan muka beliau lebih teruk dari yang saya sangka. Seluruh muka hingga ke leher gelap seperti disambar api.


“Doktor, tolonglah saya. Saya tak nak putih melepak. Saya cuma nak warna kulit saya yang asal. Saya nak tahu dan atasi masalah kulit saya ini. Saya dan suami dah letih sangat cari punca masalah kulit saya ini. Kami jumpa doktor pakar kulit pun, hanya krim diberi.


“Bila saya sapu krim itu, menyebabkan kulit saya kering dan tidak ada perubahan. Saya datang ke sini pun, saya kuatkan hati kerana saya dah putus asa. Saya dah tak tahu nak buat apa,” rayu Puan Norizah dan suami. Saya kagum dengan kecekalan beliau yang sabar dengan dugaan yang dihadapi, dan saya berazam akan membantu beliau.


BERISIKO


Apa itu jeragat? Jeragat atau nama saintifiknya adalah melasma. Melasma adalah perubahan warna kulit yang muncul dimuka. Melasma dapat dibahagikan kepada dua iaitu melasma epidermal dan melasma dermal. Kebiasaannya kedua-duanya akan hadir bersama.


Melasma adalah penyakit kulit biasa, namun jika dibiarkan tanpa rawatan akan menjadi serius sehingga boleh menyebabkankan serkulit.


Penyakit ini menyerang bukan sahaja perempuan, malah lelaki juga berisiko mendapat penyakit kulit ini. Antara faktor yang boleh menyebabkan pigmentasi berlaku, antaranya penyalahgunaan kosmetik, terlampau terdedah kepada cahaya UV, mempunyai masalah hormon, kekurangan vitamin, masalah keturunan dan pengambilan ubat-ubatan seperti ubat kencing manis, darah tinggi dan pil perancang.


Selepas menganalisis masalah kulit yang dihadapi oleh Puan Norizah, saya dapati beliau mempunyai penyakit kulit yang tidak merbahaya namun dianggap kronik iaitu hyper pigmentation.Berdasarkan kisah Puan Norizah, sudah jelas bahawa kulit beliau menghadapi hyperpigmentation disebabkan penyalahgunaan kosmetik.


Hal ini berkemungkinan akibat alat kosmetik yang digunakan sebelum ini yang mengandungi bahan kimia keterlaluan sehingga menyebabkan melanin kulit Puan Norizah rosak sehingga ke tahap melanin kulitnya reverse apabila cuba memakai produk pencerahan.


Di Marissa Aesthetic, rawatan yang digunakan untuk memulihkan masalah jeragat adalah sapuan vitamin dan laser. Penggunaan produk yang sesuai juga dapat membantu.


Menurut pakar estetik, jeragat mempunyai pembuluh darah yang hidup atau lebih mudah digelarkan sebagai akar jeragat. Pembuluh darah yang hidup ini membolehkan jeragat semakin besar dan bertambah hitam. Suntikan jenis tranxemenic dalam dos yang kecil membantu masalah jeragat.


Rawatan laser medlite digunakan untuk menghilangkan jeragat, tatu, dan tanda lahir dengan lebih berkesan tanpa meninggalkan sebarang parut. Kaedah tersebut adalah dengan menggunakan Q-Switched Nd:Yag laser (Medlite C6). Rawatan ini menggunakan konsep “photo acoustic” yang dihasilkan oleh Medlite C6.


Photo acustic bermaksud cahaya laser ini amat selektif kepada kehadiran pigmen. Sebagai contoh, apabila laser dipancarkan di kawasan jeragat, pancarannya akan memecahkan dakwat di lapisan dermis kepada partikel lebih halus tanpa merosakkan lapisan atas kulit.


Laser jenis ini mampu masuk ke dalam kulit sehingga mencapai ketebalan beberapa milimeter. Tenaga haba yang dihasilkan oleh laser agak perit namun teknik coolant dan menyapu ubat kebas dikawasan yang mahu dirawat menjadikan prosedur ini agak selesa.


Apabila medlite dipancar, ia akan memecahkan pigmen menjadikan kulit tampak bersih dan cerah. Kebaikan lain menggunakan medlite adalah kulit akan mengalami peningkatan kolagen membuatkan kulit akan tampak semakin muda.


Proses ini memerlukan beberapa sesi untuk menghilangkan semua kesan dakwat tatu, tanda lahir, jerawat dan sebagainya tetapi ia sangat berkesan, selamat dan tidak meninggalkan sebarang parut.
Faktor tidak meninggalkan parut ini menjadikan Medlite C6 satu kaedah membuang tatu yang digemari ramai.


Cara laser dipancarkan juga adalah mudah. Oleh kerana laser yang digunakan agak terang cahayanya maka pelanggan dan doktor merawat akan memakai cermin mata gelap. Selain daripada itu tidak perlu langkah-langkah lain.


Penggunaan produk yang betul dapat membantu memudarkan warna jeragat @ pigment. Marissa Aesthetic mempunyai produk yang dihasilkan daripada minerals dengan campuran vitamin c yang dinamakan White & Glow Gel.


SUMBER  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/pigmentasi-akibat-kosmetik-beracun-

Amalan Pemakanan Punca Obesiti

MASALAH obesiti dalam kalangan sebahagian rakyat Malaysia berpunca daripada pelbagai faktor termasuk amalan pemakanan tidak sihat.


Majoriti rakyat Malaysia memang gemar mengambil nasi lemak ketika sarapan kerana makanan itu mudah untuk didapati dan harganya yang murah. Tetapi awas, nasi lemak sebenarnya mengandungi kalori yang amat tinggi kerana kebiasaannya turut dihidangkan bersama ikan bilis, sambal dan telur.


Oleh itu, amalan berkenaan perlulah dikurangkan dengan mengambil makanan lebih sihat seperti oat, roti bakar ataupun susu.


Selain itu, budaya makan pada waktu tengah malam sering kali diamalkan rakyat Malaysia. Hal ini bersangkut paut dengan kedai makan yang beroperasi selama 24 jam yang menggalakkan lagi penduduk untuk singgah bagi menjamu selera. Namun, tabiat berkenaan dapat dikurangkan dengan makan sebelum pukul 8 malam bagi mengelakkan rasa lapar di tengah malam.


Seterusnya, penduduk Malaysia jarang sekali mengamalkan aktiviti sihat seperti bersukan. Kebanyakan mereka lebih tertumpu untuk menghabiskan masa bermain permainan video dan menonton televisyen. Tabiat itu amat berisiko kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit dan kegemukan.


 Oleh yang demikian, perkara berkenaan perlulah dielakkan bagi menjamin kesihatan tubuh badan. Pada waktu sama, bilangan penduduk Malaysia yang menaiki pacuan empat roda seperti kereta adalah lebih banyak berbanding mereka yang menunggang basikal dan berjalan kaki.


 Namun, mereka tetap boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan membiasakan diri meletakkan kenderaan di tempat yang agak jauh ketika hendak membeli-belah dan menaiki basikal ke kedai yang berdekatan dengan tempat kediaman.


SUMBER  http://www.utusan.com.my/rencana/forum/amalan-pemakanan-punca-obesiti-1.

Bahaya Strok Haba (2016)

Malaysia kini berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan ancaman gelombang haba apabila beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dikenal pasti telah mencapai paras ambang gelombang haba melebihi 35 darjah Celsius.


Fenomena tersebut dijangka berlarutan sehingga hujung bulan ini yang boleh mengakibatkan komplikasi kepada sistem badan manusia jika terdedah kepada sinaran matahari pada suatu tempoh terutamanya kepada kanak-kanak yang sering terdedah dengan cuaca panas.


Dalam tempoh tersebut, aktiviti luar yang sering dilakukan pelajar sekolah seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, bersukan, berkawad, dan beriadah perlu dielakkan kerana berisiko untuk mendapat strok haba yang jarang sekali berlaku namun berpotensi untuk berlaku berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini.


Pegawai Perubatan Hospital KPJ Ampang Puteri, Dr. T Devarajan Theyventheran berkata, strok haba berlaku apabila seseorang mencapai paras suhu badan yang meningkat melebihi 40 darjah Celsius berbanding suhu badan normal iaitu kira-kira 37 darjah Celsius.


“Proses berpeluh adalah normal tetapi apabila peluh keluar secara berlebihan akan menyebabkan kandungan air di dalam badan berkurangan. Perlu diingatkan bahawa air yang terkandung di dalam badan adalah penting bagi organ-organ seperti jantung, buah pinggang, dan otak dapat menjalankan tugasnya dengan baik.


“Cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan tubuh mengalami dehidrasi ditambah pula dengan tabiat kurangnya minum air menjadi punca anda boleh menghidap strok haba.


 “Jika lewat mendapatkan rawatan, boleh menyebabkan komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kepada kematian,” katanya ketika ditemui di Klinik Waqaf An-Nur(KPJ), Ampang, baru-baru ini.


Menurutnya, dalam keadaan cuaca yang begitu terik, individu disarankan berwaspada dengan serangan tersebut dan mengetahui tanda-tanda awal strok haba bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kerana strok haba boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal usia.


Kumpulan yang berisiko adalah kanak-kanak, warga emas yang berusia 65 tahun ke atas dan penghidap penyakit kronik di mana mereka perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih baik.


“Mereka yang mempunyai penyakit kronik perlu berjaga-jaga dengan pengambilan ubat mereka yang boleh menyingkirkan air di dalam badan.


 “Apabila perlu mengambil ubat secara rutin, mereka juga perlu memastikan mereka minum air kosong dalam jumlah yang lebih tinggi dan elakkan berada di kawasan panas,” katanya.


Katanya, tanda-tanda awal strok haba boleh dikesan dengan paras suhu badan yang tinggi melebihi 40 darjah Celsius selain simptom-simptom seperti loya dan muntah, sakit kepala, denyutan nadi menjadi pantas, kulit menjadi kering serta kemerahan dan kekejangan otot.


 “Individu juga boleh terkena sawan, pitam dan mengalami kekeliruan sebagai petanda awal mereka menghidap strok haba. Jika ini berlaku, rawatan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada tubuh badan mereka,” ujarnya.


Rawatan awal kepada mangsa


Jelas Dr. T Devarajan Theyventheran, jika seseorang itu disyaki menghidap strok haba, rawatan awal perlu dilakukan oleh orang di sekelilingnya bagi menurunkan suhu badan mangsa dengan membawanya ke tempat teduh atau sejuk serta membasahkan badan mangsa dengan mengelap menggunakan tuala basah terutamanya di bahagian leher, kepala, dan ketiak.


Jika suhu badan masih tidak turun, mangsa boleh direndamkan di dalam kolam air atau memandikan mangsa bagi menurunkan tekanan haba sebelum membawanya ke klinik.


Tambahnya, langkah-langkah pencegahan boleh dilakukan dengan mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti luar di bawah cahaya matahari dan segera mendapat perlindungan jika badan mula berpeluh.


“Individu juga perlu mengelakkan memakai pakaian yang tebal dan hanya mengenakan pakaian nipis bagi menghindarkan badan cepat berpeluh.


“Pengambilan minuman manis dan beralkohol juga perlu dikawal dalam tempoh cuaca kering dan panas kerana mudah menyebabkan badan menjadi dehidrasi dan amalkan pengambilan air putih yang mencukupi iaitu melebihi lapan gelas sehari,” katanya.


Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak mereka di dalam kereta jika berada di luar kerana haba yang terlalu tinggi di dalam kereta tanpa pendingin hawa boleh menyebabkan strok haba berlaku secara tiba-tiba.


Nasihat juga diberikan kepada guru dan majikan supaya mengurangkan aktiviti di luar seperti bersukan atau latihan kawad dalam tempoh cuaca sebegini kerana hanya memburukkan kesihatan diri terutamanya bagi kumpulan yang berisiko.


SUMBER http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/bahaya-strok-haba-1.

Monday, 21 March 2016

Khasiat Delima Untuk Kesihatan

BUAH delima tidak seperti epal yang gemar dijadikan snek dalam diet pemakanan sihat bagi sesetengah orang. Biarpun harganya sedikit mahal, namun buah kegemaran Nabi Muhammad SAW itu mempunyai khasiat tinggi untuk kesihatan khususnya perut.


 Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Makanlah buah delima dengan isinya, kerana ia dapat mencuci penghadaman. 
– Riwayat Imam Ahmad.


Dari aspek klinikal, pasukan penyelidik di University of Edinburgh juga bersetuju bahawa buah delima mempunyai keupayaan untuk mengurangkan lemak yang disimpan di sekitar perut sekali gus menghilangkan obesiti lemak.


 Amalan pemakanan delima dikatakan dapat mengurangkan kebarangkalian pertumbuhan sel-sel adipos di perut dan mengurangkan asid lemak dalam darah, seterusnya merendahkan tekanan darah yang menghalang strok, serangan jantung dan buah pinggang.


Bagi tujuan perubatan, buah delima juga dapat merawat dan melegakan demam panas, sakit kepala, masalah penglihatan selain mengaktifkan saraf-saraf dalam tubuh bagi menangani masalah kelesuan dan keletihan.


Malah dalam perubatan homeopati, buah delima juga dikatakan mampu bertindak sebagai penawar baik untuk masalah cirit-birit, anaemia, tekanan darah tinggi dan artritis.


Bagi sesetengah masyarakat di Asia Barat pula mereka beranggapan buah delima adalah salah satu simbol kesuburan dan panjang usia. 


SUMBER http://www.utusan.com.my/rencana/forum/khasiat-delima-untuk-kesihatan

Wednesday, 16 March 2016

Jijik lihat suami

Hasad dengki dan tamak haloba dua perkara yang menyebabkan manusia sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu dan kepuasan diri. Seperti kata orang, sekiranya tidak dapat akan sesuatu, jangan harap orang lain juga akan mendapatkannya. Biar berputih tulang dan sanggup berputih mata asalkan orang lain tidak boleh bergembira atas kegagalan mendapatkan yang diidamkan.


Panjang lebar mukadimah yang diberikan hanya untuk membayangkan perasaan sepasang pengantin baharu, yang teraniaya batin mereka dek penangan ilmu hitam yang dirancang oleh individu yang sakit hati dengan mereka.


Diceritakan sendiri oleh pasangan ini, mereka memberitahu, biarpun alam perkahwinan sudah memasuki dua bulan, pasangan ini masih belum dapat menikmati alam rumah tangga dalam erti kata sebenar kerana masih belum berkesempatan untuk ‘bersama’, sebagaimana pasangan pengantin baharu lain.


Tijah, 26, dan Salim, 26, biarpun berkahwin mengikut pilihan dan kehendak ibu bapa masing-masing, mereka tetap menghargai padanan jodoh seperti itu.


Kedua-duanya tetap bersetuju untuk disatukan. Majlis yang diadakan berlangsung dalam suasana yang penuh meriah. Tambahan pula kedua-duanya memang pernah mengenali antara satu sama lain kerana hubungan rapat orang tua masing-masing yang berkawan baik.


Siapa menyangka, perkahwinan mereka yang meriah mengundang rasa cemburu kepada individu tertentu termasuk ibu individu berkenaan yang dikatakan terasa hati apabila ibu Tijah pernah menyuarakan rasa megahnya untuk menjadikan majlis anaknya nanti umpama wedding of the year di kawasan berkenaan.


Mulut yang celupar dan sentiasa meninggi diri rupa-rupanya menyebabkan ibu individu ini seboleh mungkin cuba menghuru-harakan perkahwinan Tijah dan Salim.


Bukan itu sahaja, dalam diam rupa-rupanya anak individu itu pula sebenarnya menaruh hati kepada si Salim dan apabila lelaki itu berkahwin, sudah tentu gadis ini terasa amat kecewa.


Berbalik kepada kisah Tijah dan Salim, kedua-duanya mengaku, sebaik dinikahkan, Salim sudah berasa kelainan pada dirinya. Dia mengakui sebaik berada di dalam bilik ketika ditinggalkan berdua, dia hidung berasa tidak tahan terbau badan Tijah yang pada anggapannya terlalu busuk, sehingga menyebabkan dia terpaksa keluar dari bilik.


Pada mulanya dia beranggapan, itu semua khayalannya atau sekadar perasaannya kerana gugup akibat baharu lepas diijabkabulkan. Namun, apabila dia cuba untuk mendekati lagi isterinya, bau busuk terus menusuk hidung. Apabila Tijah pergi ke bilik air dan mandi, Salim tetap berbau tubuh isterinya sangat busuk sehingga dia tidak tertahan untuk duduk sebilik.


Itu apa yang dialami oleh Salim, manakala Tijah pula mendakwa, melihat badan lelaki itu dipenuhi dengan pelbagai kudis yang buruk dan berbau hamis apabila suaminya itu membuka baju. Tijah menyaksikan semua itu tetapi dia tidak bercakap dan bertanya dengan suaminya kerana enggan dianggap kurang ajar.


Bukan itu sahaja, kedua-duanya tidak boleh berdekatan kerana apabila mereka berbuat demikian, Tijah dan Salim akan terasa bahang kepanasan, peliknya apabila berada di dapur atau berbual bersama-sama keluarga masing-masing, tidak pula mereka merasakan bahang berkenaan.


Setelah seminggu mereka berumah tangga akhirnya Tijah dan Salim berterus terang dengan keluarga masing-masing tentang apa yang mereka alami. Ibu bapa mereka pun mencari ubat yang dirasakan sesuai untuk mengubati penyakit yang dideritai anak masing-masing sama ada secara tradisional, mahupun secara kaedah Islam.


Ketika sesi berubat itu baharu mereka menyedari yang selama ini ada individu yang menghantar ‘penyakit’ berkenaan kepada mereka agar kehidupan pasangan ini haru-biru. Setelah beberapa lama berubat, Salim dan Tijah sudah mula rasa lega dan dapat tidur bersama satu katil.


Biarpun masih lagi berubat kerana didatangi ‘penyakit’ berkenaan, entah bagaimana datang pula penyakit baharu, apabila Salim tidak boleh menjadi seorang suami dan lelaki yang sejati apabila dia sendiri tidak boleh menyentuh isterinya. Ini kerana kata Tijah, suaminya itu dikenakan pula ubat ‘pengunci batin’ yang menyebabkan dia tidak boleh berbuat apa-apa.


Pasangan ini terpaksa pula mencari ubat untuk memulihkan Salim. Melihat keadaan kedua-dua pasangan ini, mengundang rasa simpati terhadap mereka. Sudahlah penat kenduri pun belum hilang lagi, kini mereka kelihatan kecewa, sakit dan hampir putus asa.


Biarpun pada pandangan mata kasar mereka kelihatan sihat-sihat sahaja, kecekalan mereka untuk berhadapan dengan semua keadaan yang membingungkan itu sebenarnya menambahkan lagi kasih sayang mereka setakat ini. “Ujian itu mendekatkan kami sebenarnya.


Jangan ingat dengan ujian ini kami akan berpisah. Sebenarnya, kami rasa semakin bertambah kasih sayang kami dan jika diizinkan Tuhan kami akan bersama selamanya,” kata Tijah. -


Sumber-  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/jijik-lihat-suami-1

Monday, 14 March 2016

PENJAGAAN KESIHATAN - Merancang keluarga dengan kaedah azal

Boleh doktor terangkan tentang kaedah azal? Dalam masa sama saya juga mencuba kaedah penyusuan ibu untuk mengelak kehamilan. Boleh doktor terangkan keberkesanan kedua-dua kaedah ini untuk perancangan keluarga.


Puan R, Johor.


 Jawapan


Kaedah azal atau pengeluaran (ejakulasi) air mani di luar tubuh dikenali juga sebagai coitus interuptus, memerlukan pasangan suami menarik atau menolak keluar zakarnya dari faraj wanita. Aspek utama kaedah ini adalah supaya air mani pasangan tidak memasuki faraj wanita atau bersentuhan dengan kemaluan luar, supaya sperma tidak dapat mensenyawakan telur.


Antara kelemahan kaedah pengeluaran ini ialah pasangan kita perlu mempunyai kawalan diri yang sangat baik dan harus sedar bila tiba masanya yang tepat untuk dia bertindak semasa berada betul-betul pada puncak orgasma. Terdapat juga kemungkinan bahawa cecair praejakulasi, yang boleh bocor keluar sebelum mereka menarik keluar zakar, mungkin mengandungi sperma. Jika pasangan terdedah kepada ejakulasi pramatang, kaedah ini mungkin tidak akan berkesan sama sekali kerana pasangan kita tidak dapat mengawal ejakulasi.


Selain menentukan masa yang sesuai bagi proses pengeluaran, suami juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga jika merancang untuk mengadakan hubungan seks sekali lagi dalam tempoh masa yang singkat. Suami harus membuang air kecil dan membersihkan hujung zakarnya, ini dapat membantu bagi mengeluarkan sebarang baki daripada ejakulasi sebelumnya. Dijangkakan sebanyak 73 peratus daripada kaedah pengeluaran ini berkesan jika diikuti dengan betul. Kaedah ini memerlukan kawalan yang baik oleh suami. Kegagalan boleh berlaku sekiranya lewat menarik zakar kerana cecair praejakulasi juga mengandungi sedikit sperma. Sesetengah lelaki mungkin tidak menggemari kaedah ini kerana berlaku gangguan sebelum mencapai klimaks. Peratus kegagalan ialah 20 peratus.


Penyusuan susu ibu Penyusuan susu ibu merupakan kaedah yang diterima untuk merancang keluarga secara semula jadi. Ia juga dikenali sebagai kaedah lactational amenorrhea method (LAM). Ia merupakan kaedah pencegah kehamilan bagi wanita yang tidak didatangi haid atau amenorea dan melakukan penyusuan susu ibu sepenuhnya.


Apabila dalam proses penyusuan, bayi yang menghisap puting akan menghantar mesej ke otaknya untuk menghasilkan hormon yang dinamakan prolaktin. Hormon ini merangsang payudara untuk menghasilkan susu, iaitu apabila bayi menghisap, secara automatik dapat menghasilkan susu. Pada masa yang sama, rembesan prolaktin menghantar mesej kepada badan supaya tidak menghasilkan hormon perangsang folikel (FSH) dan hormon peluteinan (LH). Tanpa kedua-dua hormon ini, maka tidak akan terjadinya ovulasi. Untuk menjadikan penyusuan lebih efektif, ibu mestilah menyusukan bayinya secara eksklusif - bererti dia tidak memberi bayi apa-apa makanan atau cecair selain daripada susu ibu. Langkah ini hanya boleh dilakukan semasa bayi berumur di bawah enam bulan kerana makanan pelengkap mula diperke­nalkan setelah bayi berusia enam bulan dan ke atas.


Ibu sepatutnya meng­gunakan kedua-dua belah payudara untuk menyusukan bayinya bergantung kepada permintaan, iaitu penyusuan itu perlulah kurang daripada empat jam selepas setiap penyusuan pada waktu siang, dan kurang daripada enam jam antara setiap satu penyusuan pada waktu malam.


Apabila seseorang wanita kurang melakukan penyusuan, pengurangan dalam tindakan penyusuan menyebabkan kurang prolaktin dirembeskan, manakala FSH dan LH akan kembali terhasil. Hal ini akan menye­babkan ovulasi dan haid kembali terhasil. Bagaima­napun pada enam bulan pertama, jika ibu terus-menerus menyusukan bayi, dia harus sedar bahawa ada faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan aras prolaktin meningkat. Sebagai contoh, jika dia berada di bawah pengaruh stres yang keterlaluan, sakit (atau jika bayi sakit), mengurangkan kekerapan penyusuan, mempunyai masa senggang yang lama antara setiap penyusuan, atau menyusukan bayi dengan susu tambahan walau dengan apa-apa sebab sekalipun, boleh menyebabkan kaedah LAM menjadi kurang berkesan.


Selain itu, kaedah LAM terbukti boleh digunakan sebagai satu bentuk perancang keluarga yang cukup berkesan dalam tempoh enam bulan pertama selepas bayi dilahirkan, jika tiada sebarang keadaan luar biasa yang boleh menyebabkan mereka mengurangkan penyusuan. Selepas enam bulan, kita perlu bertanya kepada doktor tentang kaedah bukan hormon untuk merancang keluarga, kerana jika tidak kita mungkin akan hamil lagi sebelum sempat badan sembuh sepenuhnya selepas kelahiran pertama.


SUMBER : http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/merancang-keluarga-dengan-kaedah-azal

PENJAGAAN KESIHATAN - Tingkatkan kesihatan seksual wanita

Mungkin artikel ini agak senstif dalam kalangan masyarakat kita. Namun, isu ini menarik dan perlu dilihat daripada perspektif pendidikan kesihatan.


Kesihatan seksual ialah keperluan asas manusia. Semua insan tidak kira lelaki atau wanita berhak memilikinya demi kesejahteraan hidup secara menyeluruh. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan seksualiti sebagai sebahagian daripada personaliti yang dimiliki oleh setiap individu; lelaki dan perempuan.


Seksual merupakan keperluan asas manusia yang penting sama seperti aspek lain kehidupan. Hubungan seks bermaksud hubungan kelamin antara dua individu berlainan jantina. Orgasma pula bermaksud mencapai kemuncak kepuasan syahwat ketika melakukan hubungan seks atau lebih mudah disebut klimaks.


Dua perkara ini berbeza dan setiap pasangan yang melakukan hubungan seks belum pasti memperoleh orgasma. Semua pasangan berkahwin pernah melakukan hubungan seks. Namun, bagaimana pula dengan orgasma? Oleh itu, wanita perlu lebih prihatin dalam soal menjaga kesihatan seksual.


Perubahan fizikal wanita sering terjadi selepas mereka bersalin khususnya penjagaan faraj. Selain itu, berlaku masalah pertambahan berat badan, stretch mark, masalah lemah kawalan kencing atau kesan lain yang biasa selepas bersalin. Perubahan fizikal bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan seksual malah kualiti hidup mereka.


Jika anda rasa semasa hubungan intim, faraj terasa longgar atau menghadapi kesukaran untuk mencapai kepuasan seksual, jangan salahkan suami anda kerana ia mungkin disebabkan kelonggaran faraj. Sama seperti kulit, tisu faraj terdiri daripada gentian kolagen. Semasa melahirkan anak, tisu ini boleh terlalu tegang, merosakkan kolagen dan mewujudkan rasa kelonggaran terutama di sekitar pembukaan faraj.


Perasaan kelonggaran yang dialami oleh ibu-ibu akan mengurangkan kepuasan seksual dan keinginan untuk melakukan hubungan seksual. Ini boleh membawa kepada kesan negatif kepada hubungan dan kualiti hidup.


Dalam kaji selidik terhadap 400 wanita bersalin secara normal, hampir 50 peratus telah menyatakan mereka menghadapi masalah kelonggaran faraj dan penurunan kepuasan seksual semasa persetubuhan. Hari ini, banyak kes sebegini tidak dilaporkan kerana wanita malu bercakap tentang perkara yang berkaitan hubungan intim dan kurang memahami keadaan.


Sebagai wanita dan seorang pakar, saya menggesa wanita untuk menjaga kesihatan seksual mereka dengan berbincang dengan doktor tentang kesihatan seksual mereka dan memahami bahawa kesihatan seksual ialah sebahagian daripada kesihatan secara keseluruhan. -


SUMBER http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/tingkatkan-kesihatan-seksual-