MASALAH yang dihadapi oleh kebanyakan ibu ibu tunggal adalah pelbagai dan tidak pernah berkesudahan, habis satu bab datang satu isu yang baru lagi. Oleh kerana bersimpati dengan masalah ibu-ibu tunggal ini telah menarik perhatian Datuk Dr. Wan Halim Othman, menghantar e-mel untuk bertemu dan berbincang dengan penulis beberapa topik yang mungkin boleh meredakan tanggungan masalah ibu-ibu tunggal.
Beliau adalah bekas Pengerusi The Caring Society Association, KL, juga bekas Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM. Beliau juga ahli lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam masalah dan persatuan ibu-ibu tunggal, kerana tugasnya berhubung kait dengan masalah berkaitan semasa bertugas di USM juga dengan Terengganu.
“Kata beliau, golongan ibu-ibu tunggal ini bukan sahaja memerlukan bantuan, tetapi perhatian pihak berwajib, serta nasihat tentang apa yang patut mereka lakukan bila tidak dapat nafkah dan duit tidak ada dalam tangan. Kerana itu beliau ingin mengadakan pertemuan dengan ibu-ibu tunggal di bawah naungan Kumpulan Sokongan Ibu-Ibu Tunggal. Semoga kumpulan sokongan ini dapat memberi bimbingan dan nasihat yang diperlukan. Cadangan pertemuan ini dirancangkan pada 13 Ogos depan,’’ Itu kata Dr. Wan Halim.
Jika anda berminat menyertai kumpulan sokongan ini anda boleh lah menghubungi Dr. Wan Halim sendiri atau penulis untuk mengetahui lebih lanjut tentang masa dan tempat pertemuan tersebut. Anda digalakkan membawa kawan yang seangkatan bersama.
Memang benar ketika terdesak kebanyakan ibu-ibu tunggal buntu, tidak tahu apa harus mereka boleh lakukan, terutama bila duit tidak ada dalam tangan, keluarga terdekat tidak membantu, dan mereka dicemuh masyarakat keliling. Kita tidak mahu lihat kes terbaru seorang ibu tunggal membunuh dua orang anaknya dengan memberi minum racun peluntur dan kemudian membunuh diri sendiri dengan menggantung diri. Terakhir polis menutup kes tersebut. Di harapkan pertemuan itu nanti mendapat sambutan daripada ibu-ibu tunggal.
Oleh kerana masalah wanita yang berumah tangga ini juga pelbagai, maka kisah yang dibentangkan di bawah ini mungkin menarik perhatian pembaca, tetapi seperti kata penulis yang menghantar e-mel ini, dia bersedia menerima apa juga gelaran yang diberikan kepadanya, sama ada mahu menggelarkan dia bodoh, penakut atau apa apa sahaja, sebab dia sendiri tidak tahu mengapa dia berbuat seperti apa yang dilakukannya selama lebih 12 tahun ini.
“Saya tak tahu apa gelaran yang layak saya pegang selama ini. Hendak kata saya ibu tunggal tak sesuai sebab saya masih ada suami, tidak diceraikan lagi. Tetapi keadaan kehidupan saya sama seperti nasib ibu-ibu tunggal. Nak kata ibu tinggal mungkin layak, sebab sudah lebih 12 tahun saya ditinggalkan suami tanpa sebarang nafkah.” Itu cerita Nurharisah dalam e-melnya.
“Saya banyak membaca rencana di ruangan ini, akhbar juga mendengar cerita dari kawan. Rasanya, kalau tak salah bacaan saya, dengan keadaan saya sekarang ini, jika saya bawa kes saya ke mahkamah syariah, mungkin saya boleh buat tuntutan cerai. Tetapi susah sebab mana nak cari suami, saya tak tahu ke mana dia pergi, sejak ditinggalkan bersama tiga anak.
“ Dia tinggalkan saya dalam keadaan marah. Semuanya berpunca bila saya mengajak suami saya, Kheiree pulang beraya ke kampung saya, sebab sejak kami berkahwin 10 tahun lamanya Kheiree tak pernah mahu balik beraya ke kampung saya. Katanya kalau saya nak balik, baliklah sendiri, sebab mengikut Islam sebagai isteri saya wajib mengikut suami ke mana suami pergi, tak kira balik kampung, berpindah kerja hendak berhari raya atau jumpa keluarga.
Ditinggalkan
“Sebagai isteri saya mesti ikut kehendaknya, bukan suami ikut cakap isteri. Memang selama ini saya memang melebihkan keluarga Kheiree dalam apa juga keadaan. Sebagai contoh setiap tahun raya saya mesti balik kampung Kheiree dulu, selepas seminggu atau dua minggu raya baru balik kampung saya jumpa emak. Saya kena ambil cuti lain balik bersama anak-anak kerana Kheiree tidak akan ikut.
“ Pertama kerana dia bekerja cuti raya dah habis, kedua emak saya bukan emak dia, jadi tak sepatutnya dia ikut saya. Kalau saya balik pun cuma dua malam sahaja. Sebab anak nak sekolah. Masa mereka belum bersekolah, dapatlah balik tiga malam. Itu pun dengan kebenarannya.
“Walaupun saya menangis kerana tidak berjaya memujuk suami beraya ke kampung saya, namun saya masih balik ke rumah emaknya untuk hari raya. Selepas seminggu bekerja baru saya minta cuti lagi dan balik beraya di kampung saya. Lebih 12 tahun lalu ketika saya balik kampung beraya, ketika itulah Kheiree ambil kesempatan berkemas pakaiannya pindah keluar dari rumah sewa kami. Saya hanya sedar Kheiree tinggalkan saya tiga hari kemudian bila dia tak balik. Bila saya telefon dia tak jawab.
“Lepas seminggu dia telefon beri amaran jangan telefon dia lagi, katanya saya patut ditinggalkan sebab engkar pada suami. Walaupun saya minta ampun, minta maaf tetapi Kheiree kata dia akan balik ke rumah bila hatinya sudah tenang dan setelah saya insaf. Jadi untuk sementara waktu jangan telefon dan cari dia, kerana perbuatan saya menelefon dan mencarinya akan membuat dia bertambah marah dan mungkin lebih lambat lagi dia balik ke rumah. Katanya saya isteri engkar memang patut di ajar supaya sedar diri dan tahu menghormati suami.
“Amarannya membuat saya tak berani menghubunginya lagi, tetapi saya mencari Kheiree melalui adik beradiknya, dan melalui kawan-kawannya di pejabat, rupanya berita itu sampai juga ke pengetahuan Kheiree. Sekali lagi saya diberi amaran dia tidak akan balik ke rumah jika saya masih memalukannya dengan mencarinya dan menceritakan masalah keluarga kepada adik beradiknya juga kawan-kawannya di pejabat.
“Kerana takutkan amaran yang diberi saya tak berani lagi mencarinya. Saya terpaksa diamkan diri. Walaupun ketika itu saya kesempitan duit. Sebab sudah lebih enam bulan Kheiree meninggalkan kami anak beranak. Untuk mencukupkan belanja makan minum, saya terpaksa gadaikan barang kemas. Untung duduk sewa rumah murah kalau tidak tak tahu apa harus saya buat.
“Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, Kheiree masih tak balik, kehidupan kami anak beranak semakin tertekan, barang kemas sudah habis tergadai di Bank Rakyat. Ketika itu anak sulung baru bersekolah darjah dua, yang lain masih di tadika. Anak-anak semakin rindukan ayah mereka, ada yang demam. Saya terpaksa berbohong kepada anak-anak mengatakan Kheiree bekerja jauh tak boleh balik.
“Genap sembilan bulan Kheiree tinggalkan kami, akhirnya saya terpaksa mencari Kheiree di pejabatnya. Saya tidak ada jalan lain, kalau marahkan saya pun memang tak patut dia mendera saya begini lama berbanding dosa kecil yang saya buat.
“Tetapi alangkah terkejutnya saya bila diberitahu Kheiree sudah lama berhenti kerja dan mereka sendiri tak tahu dimana dia bekerja sekarang. Terlopong besar saya. Saya tanyakan keluarga mertua, mereka kata Kheiree bekerja di Singapura. Mereka juga hairan mengapa setelah sekian lama baru saya mencarinya. Bila saya ceritakan apa yang berlaku, mereka langsung tak percaya malah kata mereka saya izinkan Kheiree bekerja di Singapura.
“Bila saya ceritakan kesusahan saya, mereka mendakwa mereka tidak ada alamat atau nombor telefon untuk mencari Kheiree. Mertua nasihatkan saya supaya bersabar, mungkin satu hari nanti Kheiree akan balik juga sebab dia sayangkan anak-anak. Mungkin Kheiree akan kirim duit kepada saya. Apa yang menghairankan mengapa Kheiree tidak beritahu yang dia sudah berhenti dan bertukar kerja.
“Oleh kerana anak-anak memang sudah saya ceritakan ayah mereka berkerja jauh, maka mereka tidak buat masalah lagi, begitu juga jiran tetangga, mereka seolah percaya cerita saya. Cuma mungkin mereka hairan mengapa Kheiree langsung tak balik jumpa anak-anak.
“Berita itu amat menyakitkan hati saya, pada saya Kheiree sangat kejam langsung tidak beritahu saya dia telah bertukar kerja. Dia tidak jujur. Tetapi saya tak berani bercerita kepada jiran, teman-teman pejabat apa lagi kepada keluarga tentang punca Kheiree tinggalkan saya. Saya takut mereka semua akan menyalahkan saya pula.
“Sejak saya terima berita itu saya jadi bingung dan tertanya tanya pada diri sendiri apakah saya yang bersalah ataupun Khairee bersalah. Sepatutnya sebagai suami setelah menghukum saya dia tak patut tinggalkan saya dan menyeksa hidup kami seperti ini. Dia sepatutnya jadi pembimbing keluarga, bawa keluarga pada jalan yang benar. Bukan tinggalkan kami!
“Selepas menerima berita itu saya ambil tindakan mencari rumah lebih murah kerana saya memang tak mampu. Saya juga pindahkan sekolah anak-anak supaya mereka boleh berjalan kaki pergi dan balik ke sekolah sendiri. Kerana saya tidak mampu bayar tambang bas yang semakin tinggi dan duit saku yang bertambah banyak.
“Kini dari setahun sudah lebih 12 tahun Kheiree masih tak balik-balik. Nak tuntut cerai saya rasa malu dan tak mampu nak bayar duit peguam. Dari cerita yang saya dengar kena bayar peguam berbelas dan bepuluh ribu. Oleh kerana saya memang tak ada banyak duit dan simpanan saya zero, maka biarlah saya diamkan diri begini. Biarlah saya digantung tak bertali! “Biarlah apa juga orang mengata saya. Saya terima nak kata bodoh pun tak kisah, sebab daripada saya habiskan duit beri pada peguam, lebih baik saya bagi makan dan biaya sekolah anak-anak demi masa depan mereka.
“Tentang nafkah anak-anak biarlah ayah mereka menjawab di akhirat dan di depan Allah nanti. Tetapi kata orang, ayah yang tak beri makan minum pada anak-anaknya, hidup mereka tak selamat baik di dunia mahupun di akhirat. Kerja kuat macam mana pun hidup mereka tak senang.’’ Itu cerita Nurharisah panjang lebar yang selesa dengan gelaran ibu tinggal. Doanya biarlah Allah membalas atas apa juga perbuatan baik dan jahat seorang yang bergelar ayah dan suami yang tidak beranggungjawab.
No comments:
Post a Comment