Hasad dengki dan tamak haloba dua perkara yang menyebabkan manusia sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu dan kepuasan diri. Seperti kata orang, sekiranya tidak dapat akan sesuatu, jangan harap orang lain juga akan mendapatkannya. Biar berputih tulang dan sanggup berputih mata asalkan orang lain tidak boleh bergembira atas kegagalan mendapatkan yang diidamkan.
Panjang lebar mukadimah yang diberikan hanya untuk membayangkan perasaan sepasang pengantin baharu, yang teraniaya batin mereka dek penangan ilmu hitam yang dirancang oleh individu yang sakit hati dengan mereka.
Diceritakan sendiri oleh pasangan ini, mereka memberitahu, biarpun alam perkahwinan sudah memasuki dua bulan, pasangan ini masih belum dapat menikmati alam rumah tangga dalam erti kata sebenar kerana masih belum berkesempatan untuk ‘bersama’, sebagaimana pasangan pengantin baharu lain.
Tijah, 26, dan Salim, 26, biarpun berkahwin mengikut pilihan dan kehendak ibu bapa masing-masing, mereka tetap menghargai padanan jodoh seperti itu.
Kedua-duanya tetap bersetuju untuk disatukan. Majlis yang diadakan berlangsung dalam suasana yang penuh meriah. Tambahan pula kedua-duanya memang pernah mengenali antara satu sama lain kerana hubungan rapat orang tua masing-masing yang berkawan baik.
Siapa menyangka, perkahwinan mereka yang meriah mengundang rasa cemburu kepada individu tertentu termasuk ibu individu berkenaan yang dikatakan terasa hati apabila ibu Tijah pernah menyuarakan rasa megahnya untuk menjadikan majlis anaknya nanti umpama wedding of the year di kawasan berkenaan.
Mulut yang celupar dan sentiasa meninggi diri rupa-rupanya menyebabkan ibu individu ini seboleh mungkin cuba menghuru-harakan perkahwinan Tijah dan Salim.
Bukan itu sahaja, dalam diam rupa-rupanya anak individu itu pula sebenarnya menaruh hati kepada si Salim dan apabila lelaki itu berkahwin, sudah tentu gadis ini terasa amat kecewa.
Berbalik kepada kisah Tijah dan Salim, kedua-duanya mengaku, sebaik dinikahkan, Salim sudah berasa kelainan pada dirinya. Dia mengakui sebaik berada di dalam bilik ketika ditinggalkan berdua, dia hidung berasa tidak tahan terbau badan Tijah yang pada anggapannya terlalu busuk, sehingga menyebabkan dia terpaksa keluar dari bilik.
Pada mulanya dia beranggapan, itu semua khayalannya atau sekadar perasaannya kerana gugup akibat baharu lepas diijabkabulkan. Namun, apabila dia cuba untuk mendekati lagi isterinya, bau busuk terus menusuk hidung. Apabila Tijah pergi ke bilik air dan mandi, Salim tetap berbau tubuh isterinya sangat busuk sehingga dia tidak tertahan untuk duduk sebilik.
Itu apa yang dialami oleh Salim, manakala Tijah pula mendakwa, melihat badan lelaki itu dipenuhi dengan pelbagai kudis yang buruk dan berbau hamis apabila suaminya itu membuka baju. Tijah menyaksikan semua itu tetapi dia tidak bercakap dan bertanya dengan suaminya kerana enggan dianggap kurang ajar.
Bukan itu sahaja, kedua-duanya tidak boleh berdekatan kerana apabila mereka berbuat demikian, Tijah dan Salim akan terasa bahang kepanasan, peliknya apabila berada di dapur atau berbual bersama-sama keluarga masing-masing, tidak pula mereka merasakan bahang berkenaan.
Setelah seminggu mereka berumah tangga akhirnya Tijah dan Salim berterus terang dengan keluarga masing-masing tentang apa yang mereka alami. Ibu bapa mereka pun mencari ubat yang dirasakan sesuai untuk mengubati penyakit yang dideritai anak masing-masing sama ada secara tradisional, mahupun secara kaedah Islam.
Ketika sesi berubat itu baharu mereka menyedari yang selama ini ada individu yang menghantar ‘penyakit’ berkenaan kepada mereka agar kehidupan pasangan ini haru-biru. Setelah beberapa lama berubat, Salim dan Tijah sudah mula rasa lega dan dapat tidur bersama satu katil.
Biarpun masih lagi berubat kerana didatangi ‘penyakit’ berkenaan, entah bagaimana datang pula penyakit baharu, apabila Salim tidak boleh menjadi seorang suami dan lelaki yang sejati apabila dia sendiri tidak boleh menyentuh isterinya. Ini kerana kata Tijah, suaminya itu dikenakan pula ubat ‘pengunci batin’ yang menyebabkan dia tidak boleh berbuat apa-apa.
Pasangan ini terpaksa pula mencari ubat untuk memulihkan Salim. Melihat keadaan kedua-dua pasangan ini, mengundang rasa simpati terhadap mereka. Sudahlah penat kenduri pun belum hilang lagi, kini mereka kelihatan kecewa, sakit dan hampir putus asa.
Biarpun pada pandangan mata kasar mereka kelihatan sihat-sihat sahaja, kecekalan mereka untuk berhadapan dengan semua keadaan yang membingungkan itu sebenarnya menambahkan lagi kasih sayang mereka setakat ini. “Ujian itu mendekatkan kami sebenarnya.
Jangan ingat dengan ujian ini kami akan berpisah. Sebenarnya, kami rasa semakin bertambah kasih sayang kami dan jika diizinkan Tuhan kami akan bersama selamanya,” kata Tijah. -
Sumber- http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/jijik-lihat-suami-1
No comments:
Post a Comment