Monday, 14 March 2016

PENJAGAAN KESIHATAN - Pemakanan 
punca penyakit

 PUNCA utama penyakit zaman sekarang adalah pemakanan tidak seimbang seperti mengambil gula dan lemak haiwan secara berlebihan. Kurang bersenam juga menjadi faktor utama banyak orang muda sekarang mendapat penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.


Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dari segi pemakanan dan penjagaan kesihatan. Baginda sangat menitikberatkan makanan seimbang dan tidak makan terlalu kenyang. Seseorang mukmin yang makan terlalu kenyang akan menyebabkan dia malas untuk beribadah. Dia juga akan mudah mengantuk dan bernafas tercungap-cungap.


Hal ini berlaku kerana oksigen akan tertumpu pada bahagian perut, manakala bahagian lain terutama otak kurang menerima oksigen. Baginda juga suka minum susu kambing segar, madu, zaitun, tin, tamar dan habbatus sauda.


Rasulullah SAW dan para sahabat sangat menitikberatkan pemilihan makanan. Perkara ini dapat dibuktikan apabila sahabat baginda menolak makanan yang syubhah. Baginda juga tidak minum ketika berdiri. Makan dan minum secara duduk adalah lebih baik dari segi kesihatan, lebih selamat dan lebih puas di mana makanan serta minuman lalu di dinding perut dengan tenang.


 Minum berdiri menyebabkan cecair jatuh ke dasar perut dengan keras dan akan melanggar lapisan perut. Kalau perkara ini selalu berlaku, lama-kelamaan perut akan menjadi longgar dan jatuh sehingga menyebabkan susah nak hadam. Begitu juga dengan makanan.


 Daripada hasil penemuan sains, apabila kita bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita ketika minum, maka kita mengeluarkan karbon dioksida (C02) dan apabila bercampur dengan air (H20) ia akan menjadi H2C03 iaitu sama dengan cuka yang menyebabkan minuman menjadi berasid yang tidak sesuai untuk kesihatan.


Selain itu, kita juga sewajarnya duduk makan secara sunnah. Kaki kanan ditegakkan sambil lutut ditekap pada dada dan duduk di atas kaki kiri. Langkah itu akan menjadikan perut kita lebih kempis dan kawasan di bahagian dalam perut akan mengecil.


Hal ini menyebabkan kita mudah merasa rasa kenyang. Rasulullah SAW juga mengamalkan pengambilan air masak pada waktu pagi sebelum menggosok gigi. Pengambilan air masak pada waktu pagi dapat memudahkan penghadaman makanan dan boleh mengelak daripada penyakit sembelit.


 Bukan itu sahaja, selain daripada menggalakkan pembuangan bahan perkumuhan, amalan berkenaan dapat memberi tenaga di permulaan hari dan boleh membebaskan badan daripada toksik. DR. NORZAIDI ZAKARIA Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim)


SUMBER www.utusan.com.my/rencana/forum/pemakanan-8232-punca-pe

No comments:

Post a Comment