Saturday, 18 June 2016

Sunday, 12 June 2016

Sakit belakang pada usia muda





DOKTOR, saya selalu mengalami sakit belakang pada usia menjangkau 25 tahun ini. Adakah saya mengalami osteoporosis. Adakah penyakit tulang ini boleh sembuh?
Maria, Kuala lumpur


Jawapan


Sakit belakang adalah masalah biasa pada semua lapisan umur kecuali kanak-kanak. Boleh dikatakan setiap orang akan mengalami sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Jika masalah ini berlarutan, mereka yang mengalaminya perlu segera berjumpa doktor. Setidak-tidaknya mereka perlu mendapatkan pandangan doktor berkenaan punca sakit belakang yang dialami.


Kadang-kadang sakit belakang boleh disebabkan oleh masalah biasa seperti mengangkat barang, postur semasa bekerja di pejabat dan sebagainya. Apabila mengangkat barang, ramai yang lazimnya membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan.Pekerja pejabat pula duduk di meja dan menghadap komputer berjam-jam tanpa regangan.


Serius


Walaupun penyakit serius seperti kanser dan jangkitan kuman tulang belakang, jarang berlaku dalam kalangan wanita muda namun penyakit lain yang juga boleh menyebabkan sakit belakang seperti batu karang perlu dipertimbangkan. Pesakit juga tidak patut bergantung kepada ubat penahan sakit kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan dalam jangka masa panjang seperti kerosakan pada buah pinggang dan risiko mendapat sakit gastrik.


Penyakit osteoporosis jarang berlaku dalam kalangan wanita muda tanpa penyebab lain yang mungkin dialami pada masa sama. Faktor yang boleh meningkatkan risiko bagi mendapat osteoporosis adalah dalam kalangan atlet profesional yang menggunakan tenaga pada tahap optimum seperti pelari maraton, wanita kurang bersenam dan diet kalsium yang rendah, wanita yang terlalu kurus dan memiliki kerangka tulang badan kecil, wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap osteoporosis, wanita yang merokok, mengalami masalah penyerapan nutrien, mempunyai aras hormon estrogen yang rendah mungkin disebabkan menopaus pramatang (menopaus pada usia muda), rawatan kemoterapi dan mengalami kekurangan vitamin D.


 Perubahan


 Sakit belakang secara umumnya dibahagikan kepada dua kumpulan. Hampir 90 peratus kes adalah dalam kumpulan ‘fungsi’ iaitu sakit belakang tanpa perubahan dikesan dalam X-Ray atau Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Ramai daripada pesakit ini wanita bekerja atau berumah tangga. Kebanyakan mereka bekerja dan duduk di kerusi terlalu lama. Postur duduk yang tidak sesuai menyumbang kepada sakit belakang.


Satu lagi ciri kumpulan ini ialah mereka yang kurang bersenam atau aktiviti rekreasi kerana sibuk dengan kerja pejabat dan rumah. Mereka tidak sihat secara fizikal dan mental. Kepenatan, stres dan sedikit sebanyak tekanan menyebabkan mereka merasa sakit belakang lebih daripada orang biasa.


Kerja mengangkat benda berat yang jarang dilakukan mencetuskan gejala sakit belakang yang teruk kerana teknik yang salah dan kelemahan fizikal.


Dalam pada itu, 10 peratus yang lain menghidap sakit belakang asli dengan perubahan dikesan dalam X-Ray dan MRI. Kebanyakan mereka mengalami masalah kemerosotan struktur tulang rawan belakang yang dikenali sebagai degenerative disk disease dan kadangkala slip disk (prolapse intervertebral disk).


Disk ialah tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang. Ia berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan pergerakan (mobiliti) tulang belakang. Ia merosot mengikut kadar umur iaitu disk kehilangan kelembapannya. Ini boleh dikesan dengan MRI.


Harus diingatkan bahawa bukan semua disk yang merosot menyebabkan sakit belakang. Ini kerana slip disk berlaku apabila disk yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya adalah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut.


Daripada pengamatan saya, insya-Allah sakit belakang yang dialami anda adalah tidak serius kerana besar kemungkinannya disebabkan sakit belakang daripada kumpulan pertama iaitu ‘fungsi’. Sudah tentu sakit ini boleh sembuh. Ia bukanlah disebabkan masalah osteoporosis. Elok berjumpa dengan doktor pakar tulang (ortopedik) bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dan sudah tentu rawatan yang sewajarnya dapat diberikan.


SUMBER  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/sakit-belakang-pada-usia-muda-1.341548#sthash.lDRmmcpF.dpuf

Fenomena Bayi Besar



BAYI besar atau lebih dikenali sebagai makrosomia adalah bayi yang lahir dengan berat badan lebih daripada 4,000 gram (4 kilogram). Berat badan bayi yang baru lahir dengan cukup bulan dan usia kehamilan sekitar 37 hingga 42 minggu biasanya antara 2,500 hingga 4,000 gram.


Kalau berat si kecil ketika dilahirkan lebih daripada itu dianggap bayi bersaiz besar dan senario bayi besar bukan baharu di negara ini. Apabila perkara ini terjadi kita pastinya tertanya-tanya apakah puncanya dan kenapa terjadi? Menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Columbia Asia Setapak, Dr. Khairul Zaman Omar, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini terjadi.


Katanya, antara yang sering dikaitkan dengan kejadian bayi besar ketika lahir ialah faktor genetik dan si ibu menghidap penyakit kencing manis semasa hamil. “Kejadian bayi yang dilahirkan besar bukan satu fenomena baharu di negara ini, malah bergantung kepada keadaan masyarakat itu sendiri.


 "Di Malaysia berat maksimum bayi yang baru dilahirkan adalah di antara 4 kilogram (kg) hingga 4.5kg tetapi di negara Arab 5kg adalah saiz bayi yang normal. “Faktor genetik biasanya membabitkan kedua-dua ibu dan bapa bersaiz besar, serta ibu yang mengalami masalah lebihan berat badan ketika hamil. Selain itu, bayi yang dilahirkan lebih pada usia kehamilan iaitu 42 minggu juga berisiko untuk lahir besar,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.


Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Dr.Khairul, menjelaskan, setiap ibu hamil perlu mendapatkan rawatan berkala untuk mengetahui tahap kesihatan sepanjang kehamilan. Ini adalah untuk mengelakkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku termasuk kemungkinan bayi bersaiz besar, yang mengundang pelbagai risiko baik kepada ibu mahu pun bayi itu sendiri.


Tuturnya lagi, sekiranya masalah ini terjadi, 90 peratus ibu hamil akan melahirkan anak mereka melalui pembedahan caesarean. Namun, sekiranya si ibu mahu bersalin secara normal kemungkinan besar anak yang dilahirkan secara vakum atau forsep.


Keadaan ini menurut Dr.Khairul, bukan satu situasi selamat kerana bayi tersebut berisiko tinggi untuk meninggal dunia kerana tersekat di pangkal rahim dan kekurangan oksigen. Bukan itu sahaja, si ibu juga berkemungkinan mengalami koyak yang teruk pada bahagian vagina.


“Lazimnya ibu hamil yang mengandungkan anak bersaiz besar, mereka akan melahirkan anak secara pembedahan untuk mengelakkan koyak teruk pada bahagian vagina. “Ini juga bagi mengelakkan bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan kekal pada bahagian bahu yang kemungkinan akan tersangkut pada pangkal rahim sekiranya dilahirkan secara normal.


“Pada masa yang sama, bayi bersaiz besar juga berisiko tinggi mengalami masalah paru-paru yang tidak normal dan kecacatan otak kerana mereka mengalami hipoksia (kekurangan oksigen), dan hipoglisemia (paras gula darah yang rendah) semasa kelahiran,” jelasnya lagi.


Dr.Khairul menasihatkan, ibu-ibu hamil mahupun ibu yang akan hamil mengambil berat mengenai kesihatan diri masing-masing sebelum dan semasa kehamilan bagi mengelakkan terjadinya kelahiran bayi bersaiz besar, serta risiko-risiko yang lain.


Beritahunya lagi, ibu hamil mudah mendapat penyakit diabetes walaupun pada dasarnya mereka bukanlah penghidap penyakit tersebut sebelum ini. Ini terjadi kerana perubahan metabolik dan kesan hormon kehamilan yang boleh menyebabkan terjadinya diabetes semasa tempoh kehamilan.


“Ini satu keadaan serius yang timbul apabila wanita hamil yang tidak pernah menghidap diabetes mempunyai paras glukosa yang lebih tinggi daripada wanita yang mengalami kehamilan normal. “Keadaan ini juga akan menyebabkan bayi mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia) yang berpanjangan selepas dilahirkan,” katanya.


Dalam pada itu, mengidam ketika hamil menurut Dr. Khairul, adalah perkara biasa, bagaimanapun mengamalkan diet yang sihat sepanjang tempoh kehamilan dan kerap bersenam adalah amat penting untuk membantu menguruskan keadaan tanpa bantuan ubat-ubatan. Ibu hamil yang mengalami masalah diabetes seharusnya meminta doktor merujuk mereka kepada pakar diet bagi merancang pemakanan makanan yang sesuai untuk mereka.


Pastikan ibu hamil memilih makanan yang tinggi khasiat tetapi rendah lemak seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. “Ibu-ibu hamil seharusnya beringat bahawa tiada istilah ‘makan untuk dua orang’ sebaliknya rancang diet dan hidangan yang betul sepanjang tempoh kehamilan.


“Dalam pada itu dakwaan bahawa penggunaan beberapa jenis ubat yang dibekalkan oleh doktor seperti asid folik boleh membuatkan bayi besar di dalam kandungan adalah tidak benar. “Vitamin yang diberikan hanyalah bertindak sebagai suplemen dan ia penting kerana kebanyakan ibu hamil di Malaysia tidak mempunyai zat besi yang mencukupi di dalam tubuh mereka,” katanya lagi.


Oleh demikian, berbincanglah dengan doktor anda agar dapat mengetahui keadaan semasa anda sepanjang tempoh kehamilan.


SUMBER http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/fenomena-bayi-besar-1.340324#sthash.LA6FdA22.dpuf

Tip Cantik Wanita 50-an

BERAT badan meningkat, kulit kering, muka sembap, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan. Simptom-simptom ini sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an.


Boleh dikatakan hampir semua orang turut mengalami gejala sama, tetapi pada tahap berbeza.
Namun, hakikatnya ia bukan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan kerana ada orang masih mampu bergiat aktif, nampak awet muda, cergas dan tajam fikirannya, walaupun usia melebihi separuh abad.


Terdapat tiga gejala kesihatan yang dialami oleh wanita berusia 40 tahun ke atas. Mereka akan mengalami penuaan, perubatan seperti diabetes, darah tinggi serta kanser dan risiko kanser termasuk kanser payudara dan rahim. Penuaan merupakan masalah kesihatan utama bagi wanita berumur 50-an. Ia sering dikaitkan dengan menopaus .


Gejala-gejala ini perlu dititik beratkan kerana jangka hayat bagi seorang wanita boleh mencecah hingga 80 tahun. Ia lebih panjang daripada jangka hayat sebelum ini. Kajian menunjukkan senario ini disebabkan sosio ekonomi penduduk dunia semakin baik. Justeru bilangan warga emas sekarang semakin tinggi.


 Namun, jika terlalu ramai, ia mungkin menjadi masalah kepada negara kerana kebanyakan golongan ini tidak berfungsi. Menyentuh masalah menopaus, ia biasa melanda wanita peringkat umur 50-an. Bagi menempuh tempoh masa ini, pelbagai persediaan perlu dilakukan. Antara simptom yang akan merubah wanita 50-an yang mengalami proses penuaan ialah cepat letih, mengah, tidur tidak lena, asyik hendak tidur dan mudah sangat tidur.


Bagi menopaus, wanita akan sentiasa berasa panas, paling ketara dari segi psikiatri iaitu tekanan dan mudah berasa tersisih. Ini berlaku kerana hormon wanita turun dan menyebabkan mood tiada. Selain itu, golongan ini turut berisiko tinggi mengalami osteoporosis. Ketika usia semakin meningkat, tulang-tulang sendi akan mula rasa sakit khususnya tulang belakang.


 Pada usia ini juga, wanita juga perlu berhati-hati kepada penyakit yang banyak terdapat dalam masyarakat seperti darah tinggi dan diabetes. Perubahan mengikuti proses penuaan seperti garis-garis halus dan uban adalah tidak dapat dielakkan tapi dengan produk penjagaan kulit dan rambut, rawatan muka yang tidak melibatkan pembedahan, kini wanita yang melebihi umur 50 boleh menyerlahkan kecantikan mereka dengan cara yang semula jadi.


Perubahan kulit dan rambut Tempoh yang lama di bawah matahari, merokok, diet, kegemukan, gravitasi, tekanan hidup dan genetik merupakan faktor yang boleh mempengaruhi kulit anda. Dengan peningkatan umur, proses pengggantian sel kulit yang baru akan memperlahan, menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan kurang elastik. Lapan tip mudah bagi kulit anda


1. Menjauhi rokok. Berdasarkan selidik kaji pakar, rokok akan menyebabkan penuaan awal kulit. Rokok mengandungi bahan kimia yang membatasi jumlah oksigen yang sampai ke kulit dan menggangu penyerapan vitamin C yang diperlukan oleh kulit untuk memperbaiki diri.


2. Kurangkan pendedahan di bawah matahari. Mengelakkan matahari pada jam 10 pagi hingga 2 petang kerana sinar matahari pada masa itu adalah sangat kuat. Sinar matahari adalah penyebab utama bagi masalah kulit seperti garis-garis halus, bintik-bintik coklat dan perubahan warna kulit. Pakaikan topi, lengan baju yang panjang, seluar panjang dan cermin mata gelap jika berada di luar rumah. 


3. Menggunakan krim pelindung cahaya matahari atau sunscreen. Mengunakan produk SPF30 atau lebih dengan pelindungan UVB dan UVA setiap hari. Cahaya matahari akan menyebabkan kejadian kedutan dan warna kulit yang tidak seimbang. Sunscreen juga mengurangkan risiko kanser kulit.


4. Gunakan pelembap bagi kulit kering. Pakai pelembap udara dan losyen. Pelembap melembabkan kulit dengan cara mengikat air pada lapisan kulit terluar. Cari pelembap yang berasas minyak.


5. Diet sihat dan minum air yang mencukupi. Pemakanan yang baik adalah penting untuk kulit. Pastikan anda mengikuti diet sihat yang diperkaya dengan vitamin A, B, C, E dan K yang terdapat dalam makanan seperti bayam, kekacangan, biji-bijian, lemon, limau, jus anggur dan buah-buahan. Air adalah penting untuk hidrasi mendalam. Dasar yang baik adalah 6 hingga 8 gelas dalam satu hari. Minum air juga menghilangkan racun berbahaya dari tubuh.


6. Produk anti-penuaan. Bahan pentapeptida yang terdapat dalam kebanyakan produk yang baru, membantu dalam mempercepatkan sel kulit untuk menghasilkan kolagen yang penting untuk menegangkan kulit. Krim retinoid yang mengandungi vitamin A adalah sangat efektif dalam mengurangi keriput, mencerahkan warna kulit dan meningkatkan pergantian sel kulit. Anda juga harus mencari tambahan bahan seperti antioksida untuk membuat kulit berisi dan cerah.


7. Perawatan kulit. Suntikan Botox, pengupasan kulit, pengisi kedutan dapat menghilangkan kesan kedutan dan melicinkan kulit muka. Rawatan laser dapat menambahbaikan kulit, menghilangkan parut dan kedutan dan masalah kulit yang lain.


8. Tidur yang mencukupi. Dapatkan rehat yang secukupnya untuk melihat perubahan pada wajah anda; Lingkaran hitam di bawah mata, kulit pucat, dan mata bengkak adalah simpton yang kerap. Mendapatkan tujuh hingga lapan jam tidur setiap malam akan menjaga tubuh dan kulit anda. Ia penting bagaimana anda tidur juga – kalau anda merehatkan muka anda di atas bantal, anda akan mendapat kedutan kulit, jika anda meniarap diatas perut, lingkaran hitam di bawah mata anda akan muncul. Solusinya senang – tidur di atas perut anda!


sumber :  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/tip-cantik-wanita-50-an-1.341552#sthash.83jzekw9.dpuf